Isnin, 6 Februari 2012

Bapa, anak berkongsi pelamin

Bermula dengan perkenalan melalui anak mereka yang belajar di kolej sama, seorang pesara kerajaan, Zainal Abidin Nordin, 60, tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi bersama dengan kenalan lamanya, Noorazliza Ahmad, 50.

Tambah bermakna, pada majlis persandingan hari ini, Zainal Abidin turut berkongsi pelamin bersama anaknya, Nur Rushida, 25, yang melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Mohd. Firdaus Mohd. Husin, 27.

Zainal Abidin yang mempunyai lima anak dan tujuh cucu hasil perkahwinan pertamanya menyifatkan perkahwinan kali kedua ini adalah jodoh yang telah ditentukan Ilahi.

“Saya rasa hubungan kami bermula secara kebetulan kerana kami kehilangan pasangan masing-masing pada tahun yang sama dan kami berkenalan kerana usaha anak-anak yang ingin melihat kami disatukan.

“Setelah dua tahun setengah berkenalan dan yakin dia mampu menjaga saya dan anak-anak, akhirnya saya melamar dia,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis resepsi mereka di sini hari ini.

Menurut Zainal Abidin, dia bersyukur kerana majlis hari ini berjalan lancar dan berdoa supaya perkahwinan anaknya kekal hingga ke akhir hayat.

Sementara itu, bagi Noorazliza, sifat penyayang dan ambil berat suami terhadapnya serta anak-anak menyebabkan dia tertarik untuk mengenali lebih dekat bakal suaminya pada ketika itu.

“Kebiasaannya kami selalu berhubung melalui telefon sahaja dan suami saya yang selalu menelefon bertanya tentang keadaan saya dan anak-anak.

“Kami jarang keluar berdua kerana kebanyakan masa pertemuan kami adalah melalui aktiviti yang melibatkan anak-anak kami seperti menonton tengok wayang dan riadah,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa terdekat, pasangan mempelai warga emas itu merancang untuk berbulan madu di Padang, Indonesia.

Sementara itu, Nur Rushida yang berkerja sebagai guru Tabika Kemas di sini menganggap hari ini sebagai paling istimewa dalam hidupnya kerana berkongsi pelamin dengan bapanya.

“Perkahwinan seperti ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dan saya merasa bertuah kerana berpeluang untuk mengadakan majlis perkahwinan yang cukup unik ini,” ujarnya.

Majlis perkahwinan kedua-dua mempelai tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan