Jumaat, 30 Disember 2011

Perompak yang lapar

“Hidang aku nasi” itulah permintaan seorang penyamun selepas memecah masuk ke dalam rumah seorang pembantu veterinar di Kampung Bukit Payung, Besut, di sini pagi semalam.

Bagaimanapun ketika penyamun itu sedang asyik menjamu selera, anak perempuan pemilik rumah itu sempat melarikan diri ke rumah jiran berdekatan dan menelefon bapanya bagi memaklumkan kejadian tersebut dan seterusnya membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah memecah masuk ke rumah berkenaan dan mengugut anak perempuan pemilik rumah yang ketika itu tinggal berseorangan supaya menyerahkan semua barang berharga.

“Mangsa 21 tahun yang dalam keadaan ketakutan kemudian terus menyerahkan dua utas gelang emas yang dipakainya.

“Selepas mendapat barang kemas itu suspek kemudian meminta mangsa menghidangkannya nasi, namun mangsa menyuruh suspek mengambil sendiri nasi di dapur sebelum mengambil peluang melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Manoharan, tidak lama selepas itu bapa mangsa tiba bersama beberapa anggota polis, namun suspek bersama seorang rakannya yang menunggu di dalam kereta berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kira-kira jam 8 malam tadi di Jalan Pasir Akar dan hasil soal siasat, seorang lagi suspek berjaya ditahan. – BERNAMA