Isnin, 5 Mac 2012

Wanita 116 tahun ingin kahwin lagi

Walaupun berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang merupakan wanita tertua di negeri ini menyimpan hasrat untuk berkahwin lagi dan sedang mencari calon bagi menjadi pasangan hidupnya.

Menurutnya, hasrat untuk berkahwin lagi antara lain adalah kerana mahu mencari teman bagi mengisi kesunyian hidup berseorangan.

“Bukan apa, bosan juga duduk seorang diri masa tua-tua sekarang,” katanya yang berharap mendapat calon suaminya dari kawasan berdekatan tempat tinggalnya di Padang Keria, Sanglang, dekat sini.

Kisah Puan sebelum ini mendapat liputan meluas akhbar termasuk Utusan Malaysia yang melaporkan usia seorang warga emas berusia lebih 90 tahun telah bertukar menjadi ‘belasan tahun’ berdasarkan pada nombor kad pengenalannya.

Berikutan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membuat semakan ke atas masalah yang dihadapi oleh Puan mendapati warga emas tersebut sebenarnya berusia 116 tahun berdasarkan rekod permohonannya ketika memohon kad pengenalan dahulu yang tercatat tarikh lahirnya pada 1896 dan bukannya 1996 sehingga menimbulkan banyak kesulitan.

“Cuma, adakah orang yang hendak saya?,” katanya kepada pemberita pada majlis Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di kediamannya hari ini.

Program anjuran bersama Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM Perlis, Abdullah Ali.

Sebelum ini, Puan dikatakan pernah berkahwin dan mempunyai enam suami tetapi kesemuanya meninggal dunia.

Hasil daripada perkongsian hidup dengan dua orang suaminya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, 19 cucu dengan paling bongsu berusia 21 tahun dan 47 cicit dengan yang paling tua berusia 25 tahun.

Mengenai amalan pemakanannya, Puan memberitahu, dia sememangnya menggemari pucuk kayu segar tetapi kadang kala mengambil daging dalam jumlah yang sedikit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan