Jumaat, 9 Mac 2012

Bakar kerang, terbakar rumah


Seorang peniaga pasar malam terpaksa berputih mata apabila rumah yang didiaminya sejak 50 tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Pasar Kedai Manir dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM230,000 termasuk wang tunai RM300 yang merupakan modal untuk berniaga.

Mangsa, Abdul Aziz (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, dia merebus kerang di dapur untuk dijual di pasar malam di Pulau Duyong dekat sini.

Katanya, api daripada dapur tersebut tiba-tiba menyambar minyak petrol di dalam sebuah penjana elektrik yang terletak berhampiran dan menyebabkan kebakaran.

“Saya cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan pantas. Saya kemudian menyuruh anak-anak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Artikel dan gambar dari Kosmo

Dulu dukun cabul, sekarang doktor cabul

Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini tidak menyangka akan menjadi mangsa cabul seorang doktor pelatih lelaki di sebuah hospital dekat sini pada 4 Mac lalu.

Pelajar berusia 23 tahun itu mendakwa dicabul pada pukul 10.20 pagi ketika berada di sebuah bilik pemeriksaan di unit kecemasan hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit tiroid yang dihidapinya.

Satu sumber memberitahu, pada mulanya seorang doktor wanita mahu memeriksa mangsa namun doktor wanita itu tiba-tiba terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat satu kes kecemasan lain.

BACA SELANJUTNYA KAT KOSMO

Walaupun tidak sakit bayar saja RM15 dan terus dapat cuti sakit

Seorang runner yang sering berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini diberkas kerana disyaki mengaut keuntungan dengan menjual sijil cuti sakit palsu mempunyai cap hospital kerajaan yang dihasilkan sendiri.

Suspek lelaki berusia 27 tahun dan baru berkahwin dengan seorang pegawai sebuah bank ditahan di rumahnya di Jalan Damai di sini kelmarin.

Dia dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM1,500 hasil menjual 100 keping sijil cuti sakit palsu pada harga RM15 sekeping.
Semua sijil cuti sakit palsu yang dijual suspek mempunyai cap Hospital Batu Pahat atau cap Klinik Kesihatan Bagan berserta nama penolong atau pegawai perubatan bertugas di hospital atau klinik kesihatan terbabit.

Bagaimanapun, siasatan mendapati penolong dan pegawai perubatan terbabit tidak terlibat dengan kegiatan suspek itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek mengaku membuat sijil cuti sakit palsu dengan menggunakan mesin pencetak biasa di rumahnya di sini - KOSMO

Rabu, 7 Mac 2012

Selepas Pesta Arak, Pesta Gaduh

 Pesta arak membawa kepada pertengkaran antara tujuh pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Sungai Baru, dekat sini, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka cedera dengan dua daripadanya parah akibat diserang empat rakan yang berang, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, tujuh pekerja ladang itu yang berusia 20 dan 53 tahun berpesta arak di belakang rumah pekerja selepas menerima gaji sebelum bergaduh sesama sendiri.

Akibatnya, dua pekerja berumur 53 dan 31 tahun parah di kepala manakala seorang lagi berusia awal 30-an cedera di badan selepas ditetak dengan senjata tajam oleh empat lelaki yang juga rakan mereka - Metro

Isnin, 5 Mac 2012

Wanita 116 tahun ingin kahwin lagi

Walaupun berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang merupakan wanita tertua di negeri ini menyimpan hasrat untuk berkahwin lagi dan sedang mencari calon bagi menjadi pasangan hidupnya.

Menurutnya, hasrat untuk berkahwin lagi antara lain adalah kerana mahu mencari teman bagi mengisi kesunyian hidup berseorangan.

“Bukan apa, bosan juga duduk seorang diri masa tua-tua sekarang,” katanya yang berharap mendapat calon suaminya dari kawasan berdekatan tempat tinggalnya di Padang Keria, Sanglang, dekat sini.

Kisah Puan sebelum ini mendapat liputan meluas akhbar termasuk Utusan Malaysia yang melaporkan usia seorang warga emas berusia lebih 90 tahun telah bertukar menjadi ‘belasan tahun’ berdasarkan pada nombor kad pengenalannya.

Berikutan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membuat semakan ke atas masalah yang dihadapi oleh Puan mendapati warga emas tersebut sebenarnya berusia 116 tahun berdasarkan rekod permohonannya ketika memohon kad pengenalan dahulu yang tercatat tarikh lahirnya pada 1896 dan bukannya 1996 sehingga menimbulkan banyak kesulitan.

“Cuma, adakah orang yang hendak saya?,” katanya kepada pemberita pada majlis Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di kediamannya hari ini.

Program anjuran bersama Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM Perlis, Abdullah Ali.

Sebelum ini, Puan dikatakan pernah berkahwin dan mempunyai enam suami tetapi kesemuanya meninggal dunia.

Hasil daripada perkongsian hidup dengan dua orang suaminya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, 19 cucu dengan paling bongsu berusia 21 tahun dan 47 cicit dengan yang paling tua berusia 25 tahun.

Mengenai amalan pemakanannya, Puan memberitahu, dia sememangnya menggemari pucuk kayu segar tetapi kadang kala mengambil daging dalam jumlah yang sedikit.

Lari dari sekatan polis membawa padah yang lebih buruk

Seorang lelaki, yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis, maut apabila motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus merempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Persiaran Masjid di sini, awal hari ini.

Aidil Hamidi Ismail, 33, dari Negeri Sembilan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.

Ketua Ops Samseng Jalanan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ASP Hambazi Abd Rahmat berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, lelaki yang menunggang dari arah Bulatan Setia Jasa berhampiran Seksyen 10 di sini, bertindak nekad berpatah balik sebaik menyedari terdapat sekatan polis, kira-kira 200 meter di hadapannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini. — BERNAMA